PELAJAR CEMERLANG SPM & STPM 2008 DAPAT HADIAH WANG

[Saturday, March 14, 2009

Hari Sabtu yang menakjubkan buat dua orang pelajar cemerlang dalam SPM dan STPM yang baru diumumkan baru-baru ini. Mohamad Hafizueddin Abdul Karim, pelajar cemerlang STPM 2008 dan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal pelajar terbaik SPPM 2008 keduanya menerima sumbangan imbuhan, bertemu menteri yang berbeza dalam situasi yang berbeza.

Seorang di Kelantan dirai dalam sebuah majlis, manakala seorang lagi di Pulau Pinang dikejutkan dengan lawatan ke rumahnya.

Kita tengok kisah mereka, semoga jadi sumber inspirasi untuk yang bakal menduduki SPM dan STPM tahun ini pula.

Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Mohamad Hafizueddin Abdul Karim agak terkejut melihat kedatangan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ke rumah keluarganya di sini, Sabtu.

Mohamad Hafizueddin, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Onn di sini, berkata beliau terharu apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyampaikan imbuhan kewangan atas pencapaian cemerlangnya.

"Saya amat terharu apabila Nor Mohamed sanggup meluangkan masa untuk menyampaikan imbuhan kepada saya," katanya pelajar berusia 19 tahun di rumah keluarganya di Teluk Air Tawar Indah, Tasek Gelugor, dekat sini.

Anak kedua daripada lima adik-beradik itu memperoleh 4 prinsipal A dalam subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi dan Pengajian Am.

"Saya cadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang supaya saya dapat membantu keluarga pada masa depan," kata Mohamad Hafizueddin yang bekerja di kilang pau di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Teluk Ayer Tawar ketika menunggu keputusan STPM.

Bagaimanapun, ibu Mohamad Hafizueddin, Zalina Ishak, yang menyara keluarga selepas kematian suaminya dalam kemalangan jalan raya pada 2005, berkata beliau tidak menjangka anaknya dapat memperoleh keputusan cemerlang.

Ibu tunggal berusia 40 tahun itu menjalankan perniagaan pasar malam di sekitar Seberang Jaya.

"Saya sentiasa menasihatkan anak-anak saya supaya belajar dengan tekun supaya dapat mengubah nasib dan masa depan mereka," katanya.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata Mohamad Hafizueddin adalah pelajar contoh yang mampu mencapai kejayaan dalam pendidikan walaupun kehidupannya susah selepas pemergian ayahnya.

"Dia terpaksa membantu ibunya di pasar malam dan bekerja sambilan di kilang bagi meringankan bebanan hidup sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal pula hari ini menerima hadiah wang tunai RM4,000.

Hadiah dari Yayasan Nelayan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia itu disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di sini.

Nik Nur Madihah, 18, anak nelayan dari Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan mendapat 20 A (19 A1, I A2) dalam SPM tahun lepas.

"Kita bangga dengan pelajar SM (Agama) Maahad Muhammadi Kota Baru ini, yang bapanya merupakan seorang nelayan sementara ibunya seorang tukang cuci," kata Mustapa semasa menyerahkan sumbangan itu kepada Nik Nur Madihah pada majlis sambutan Bulan Veterinari, di sini.

"Kejayaan Nik Nur Madihah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai sekiranya kita ada kesungguhan," tambah beliau.

(Sumber: Bernama)

Sebenarnya, ramai lagi pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM. Namun begitu, yang berbeza adalah ruang sosio ekonomi keluarga pelajar tadi patut diambil iktibar oleh kita semua. Seperti firman Allah dalam Surah Al-Insyirah (5-6) " Sesungguhnya dalam kesulitan, tetap ada kemudahan".